Selepas lahirnya anak, mungkin isteri yang paling banyak buat kerja dalam penjagaan bayi. Suami hanya tengok-tengok sahaja dulu. Selepas besar sedikit, barulah berani mahu mengacah-acah.
Namun, buntunya seorang ayah apabila disuruh isterinya supaya mengambil alih sebentar tugasan menjaga anak. Seorang ayah ada yang tidak tahu apa yang dia harus lakukan dengan seorang bayi bersama mereka.
Bukan hanya bayi, malah anak-anak yang besar sekali pun ayah tidak tahu apakah aktiviti yang boleh mereka lakukan bersama. Mungkin ayah tercari-cari apakah aktiviti yang sesuai untuk dilakukan bersama. Sambil menjaga anak, boleh juga bermain bersama-sama.
Role model
Pentingkah ayah meluangkan masa bersama anak-anak? Ya, sudah tentu! Ayah adalah ketua keluarga yang sentiasa menjadi ‘role model’ kepada anak-anak. Tanpa seorang ayah, mana mungkin sebuah keluarga dapat mengharungi kehidupan dengan baik sekali. Kehadiran seorang ayah, bukan sahaja penting untuk meningkatkan ekonomi keluarga tetapi sangat penting bagi kehidupan anak-anak.
Figura seorang ayah yang berlainan dari seorang ibu, menjadi tempat bermanja anak-anak. Kadangkala tugasan seorang ibu yang sibuk di dapur, memerlukan seorang ayah untuk melayan dan menghiburkan anak-anak.
Seorang ayah juga perlu tahu bagaimana menukar lampin, bermain dengan anak, berjalan-jalan dengan anak dan sebagainya. Ayah yang bijak melayan kerenah anak-anak, sebenarnya memberikan sedikit ruang untuk ibu mendapatkan rehat atau menyiapkan tugasan yang tergendala. Bukannya lama menjaga anak!
Berikut adalah aktiviti yang boleh ayah lakukan bersama anak mengikut umur mereka.
Apa yang ayah boleh buat bersama bayi? (0 – 24 bulan)
1. Dukung atau pegang erat atau pangku bayi dan dodoikannya
2. Bercakap dengan bayi. Katakan anda sayang kepadanya atau sebut anggota badannya. Tunjuk dan sentuh
3. Mandikan bayi, main air bersama.
4. Mengurut bayi. Urut bayi adalah sangat mudah. Belajarlah dari ibu atau youtube. Urutan dapat merapatkan lagi hubungan.
5. Tukarkan lampin bayi sambil berbual-bual mesra dengannya
6. Jika bayi menghisap botol susu, buatkan susu untuknya dan susukan sambil meribanya
7. Biarkan bayi anda memegang dan menyentuh muka ayah sambil ayah membuat wajah lucu dan bunyi-bunyi yang menghiburkan
8. Lakukan aktiviti di atas lantai bersama bayi seperti berguling, merangkak dan sebagainya
9. Menyanyi bersama
10. Bacakan bayi anda buku cerita atau tunjukkan gambar-gambar menarik kepada bayi
11. Biarkan bayi anda melihat bagaimana anda berkomunikasi dengan orang lain seperti antara anda dan anak-anak yang lebih besar. Jadi, tunjukkan yang baik-baik sahaja!
12. Sesekali ajaklah bayi-bayi lain seperti sepupu untuk main bersama. Dia akan mula belajar untuk bermain bersama dan berkomunikasi.
Apa yang ayah boleh buat bersama anak yang berumur 3 hingga 6 tahun?
1. Bawalah anak bermain di luar sebanyak mana yang boleh. Motor skil kasar mereka seperti melompat, berlari, berguling dan sebagainya perlu diransang agar mereka membesar dengan sihat.
2. Letakkan anak di atas bahu anda. Mereka pasti seronok melihat kawasan sekeliling dari tempat yang tinggi!
3. Bacakan anak buku cerita, majalah atau papan tanda di jalan. Anak pasti suka!
4. Main bola dengan anak-anak yang berumur dalam lingkungan ini. Ajar mereka menangkap bola, menendang dan membaling. Ini mengajar tentang korordinasi mata mereka.
5. Menjaga anak tidak semestinya duduk diam. Lakukan aktiviti dengan membantu anak menggunakan tandas dengan betul. Waktu ini anak mungkin mahu belajar untuk bebas dari lampin. Ajarkan anak bagaimana untuk mencucui dan pam tandas dengan betul.
6. Ajar anak untuk menggunakan perkataan yang betul dan perkataan mana yang tidak boleh digunakan. Usah sesekali terkeluar perkataan yang tidak elok. Anak akan ingat sampai bila-bila.
7. Galakkan anak untuk bertanya agar skil komunikasi mereka dapat diasah dengan baik. Sambil menjaga anak, sambil berbual dan korek rahsia dia.
8. Jawablah soalan anak-anak dengan penuh keterujaan dan tunjukkan kepada mereka bahawa anda benar-benar prihatin terhadap soalan mereka.
9. Dalam menjaga anak, selalu menunjukkan kelakuan atau perkara yang baik kepada anak. Seperti membuang sampah ke dalam tong sampah. Katakana kepadanya, ‘ Kita buang sampah ke dalam tong sampah.’
10. Lakukan aktiviti seperti ‘bedtime stories’ sebelum masuk tidur. Ianya pasti sangat memudahkan anak untuk tidur.
11. Menjaga anak bukan bermaksud kena serius sentiasa. Cuba basuh kereta bersama. Wah, ini pasti menyeronokkan! Bukan sahaja dapat bermain air, ianya dapat juga merapatkan hubungan ayah dan anak.
12. Sekali sekala, mungkin ayah boleh bawa anak membeli barang dapur bersama. Tunjukkan mereka ayam, ikan, sayur dan sebagainya. Anak-anak pasti teruja!
13. Mewarna dan melukis bersama. Belilah sebuah papan putih kecil atau buku mewarna yang banyak di pasaran. Lakukan bersama anak. Pasti seronok!
14. Ketika makan bersama, tanyalah kepada anak-anak tentang hari mereka. Bagaimana keadaan di sekolah atau apa yang mereka lakukan sepanjang hari.
15. Berbasikal atau menaiki motor bersama. Pusing-pusing di taman sesuatu yang sangat menggembirakan walau pun ianya sangat mudah dan ringkas sahaja.
16. Luangkan masa untuk ke hari sukan anak atau hari bertemu guru di tadika mereka. Jangan bagi alasan!
17. Rancang dan pergi ke tempat yang anak-anak mahu pergi seperti zoo, perpustakaan dan sebagainya.
18. Mandi pantai dan main pasir! Lihatlah muka anak-anak waktu itu. Pasti tidak dapat digambarkan.
19. Tanyalah kepada anak-anak apa yang mereka mahu jadi bila besar nanti. Contohnya anak ingin jadi juru terbang. Kemudian cari buku atau majalah berkenaan kapal terbang atau tonton dokumentari yang bercerita berkenaan kapal terbang.
20. Buat kad ucapan bersama. Contohnya kad ucapan untuk guru atau ibu. Beri anak kebebasan untuk melukis dan mewarna. Ayah bantu dan sokong!
Akhir kata
Banyaknya aktiviti yang ayah boleh lakukan bersama anak-anak sambil menjaga anak. Hakikatnya, tugas menjaga anak bukan tugas ibu sahaja. Jadi sama-samalah ayah dan ibu berganding bahu dan bekerjasama untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.
Kajian menunjukkan bahawa ayah yang rapat dengan anak-anak mempunyai akhlak yang lebik baik dan dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja.
Semoga bermanfaat.
Petua & Tips : Tips 20 Suami Menjaga Anak
About Cari Petua
Blog yang mengumpulkan bermacam-macam petua / tips berguna untuk pengunjung semua. Terima kasih kerana terus setia bersama kami. Like Page Kami untuk memudahkan anda semua mendapatkan petua terkini Cari Petua / Tips
0 Response to "20 Tips Suami Menjaga Anak"
Post a Comment